Kempen Adab & Sopan

Jauh sungguh pergi mandi,

setapak jalan lewatkan huma;

berat sungguh menggung budi,

seribu tahun takkan lupa.

Bangun pagi, jumpa kawan baru


 

BAGI seorang ibu dari Subang Jaya, Selangor, Siar Siew Ling, 35, beliau sudah mula risau memikirkan anaknya yang bakal menjejak sekolah hanya dalam beberapa hari sahaja lagi. Bakal melalui pengalaman segar kerenah anak berhadapan dengan sekolah baharu di Tahun Satu, Siew Ling kelihatan lebih risau berbanding anaknya, Gabriel Kong Tze Hean, 6.

Ini kerana walaupun anaknya itu berasa teruja terutama sekali apabila sudah mempunyai beg sekolah, pakaian sekolah, kasut dan peralatan tulis baharu, dalam diam-diam, Siew Ling dapat juga merasai akan berlaku sedikit kejutan bagi Gabriel.

“Ia akan menjadi satu pengalaman yang sangat berbeza. Walaupun pernah memasuki tadika dan prasekolah selama tiga tahun iaitu bermula usia empat tahun, saya tetap takut,” katanya.

Tambah Siew Ling lagi, berhadapan dengan persekitaran pendidikan formal, guru besar, guru sekolah, kumpulan pelajar yang lebih besar dan peraturan sekolah pasti akan membuatkan kanak-kanak Tahun Satu sedikit terkejut.

Bagaimanapun ia adalah satu perasaan normal dalam kalangan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dan mahir mengendalikan situasi yang pelbagai, demikian kata Pakar Psikologi Klinikal, Program Psiko Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Madya Dr. Alvin Ng Lai Oon.

“Apa yang penting, jangan takutkan anak-anak terlalu awal mengenai zaman persekolahan tetapi, dedahkan secara berperingkat pada usia yang betul. Biar mereka didedah dengan persekitaran sekolah, melihat kanak-kanak lain ke sekolah dan bekalkan peralatan sekolah untuk menyedarkan kini tiba giliran mereka pula ke sekolah,” ujar Alvin.

Jangan terlampau risau

Kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan Tahun Satu dilaporkan banyak berhadapan dengan tekanan atau ketakutan. Walaupun ia sesuatu yang normal, adalah disarankan supaya ibu bapa mendekatkan kanak-kanak dengan persekitaran sekolah supaya ketakutan itu tidak lama, berpanjangan mahupun memberi impak terhadap akademik.

PASTIKAN anak mendapat tidur yang cukup untuk mengelakkan mereka mengantuk sewaktu berada di dalam kelas.

 

Alvin juga menyarankan agar ibu bapa tidak berkelakuan terlalu mengendahkan tekanan yang bakal dihadapi kanak-kanak sebaliknya cukup untuk mengambil kira ia sebagai satu kepentingan.

Mengambil contoh kebimbangan Siew Ling terhadap anaknya yang teruja untuk ke sekolah, Alvin juga mahu ibu bapa bersedia dengan beberapa perancangan atau pelan apabila anak mereka mula membuat perangai.

Apa yang dimaksudkan oleh Alvin ialah terhadap kanak-kanak yang akan mengharapkan ibu atau bapa akan sentiasa menemani mereka sepanjang berada di sekolah. Kanak-kanak itu akan menangis jika dipisah daripada ibu bapa atau enggan membuka mulut sewaktu di dalam kelas.

“Mungkin pada hari-hari permulaan, ibu atau bapa perlu memberi sedikit ruang dan masa. Tetapi jangan sekali-kala memanjakan anak sehingga anda memaksa diri untuk tinggal di sekolah sepanjang waktu persekolahan untuk tempoh lama,” katanya sambil mengakui ada ibu bapa yang terpaksa ‘berkampung’ di sekolah selama lebih sebulan.

Apabila ditanya penyelesaian untuk berhadapan dengan situasi yang disenarai tadi, Alvin berkata semuanya perlu bermula dari awal oleh ibu bapa sebagai modal dan disiplin di samping kelonggaran di mana patut.

ALAM persekolahan membolehkan anak-anak mengumpul sahabat baharu.

 

Bercakap panjang lebar, Alvin merujuk kepada kenyataan seorang lagi ibu Halina Mihamed Yasin, 32, “Saya berpendapat anak saya akan berhadapan dengan masalah bangun awal memandangkan sekolahnya bermula pada sesi pagi.”

Kata Alvin, masalah bangun awal pagi bukan satu masalah besar memandangkan setiap kanak-kanak melaluinya dan lazimnya mampu dilatih oleh ibu bapa. Katanya, ibu bapa perlu manjadikannya satu rutin dan ibu bapa perlu menjadi modal asas.

“Juga, ibu bapa boleh memberi ganjaran, jika anak bangun awal. Bukan merasuah atau tawaran tetapi, ganjaran dan ia dilakukan hanya selepas kanak-kanak itu berjaya melakukan,” katanya yang mengalakkan ganjaran untuk apa jua kelakuan positif kanak-kanak.

Katanya lagi, latihan untuk bangun awal boleh dilakukan apabila ibu bapa bersama-sama terlibat untuk tidur dan bangun awal. Lain-lain tip yang dikongsi Alvin bagi ibu bapa pertama kali mempunyai anak melangkah ke Tahun Satu ialah untuk memastikan anak-anak diberi pemakanan yang sihat sama ada sebelum pergi ke sekolah, bekalan makanan pada waktu rehat dan sepanjang hari. Katanya, diet sihat adalah antara elemen yang paling penting diberi keutamaan.

Belajar pengalaman anak sulung

Dalam pada itu, Halina, ibu kepada tiga orang anak akui kini giliran anak kedua pula ke sekolah rendah dan beliau sudah melakukan persediaan yang sepatutnya.

Sambil tersenyum manis, Halina mengakui seperti kanak-kanak lain, anaknya, Muhamad Aiman Haziq berasa seronok tetapi, dalam masa ketakutan itu tetap ada.

“Biasanya kanak-kanak suka pergi sekolah kerana dapat berjumpa ramai kawan. Dari segi sosial, biasanya tiada masalah tetapi persediaan akademik, saya terpaksa memberi sedikit tumpuan. Ini hasil pengalaman anak pertama saya,” ujar Halina.

IBU bapa tidak seharusnya terlampau risau dengan alam baharu anak-anak, selain memberikan kepercayaan kepada guru untuk menjalankan tugas mereka.

 

Tambah beliau, sebagai melatih dan bersiap sedia dengan pendekatan akademik anaknya, Halina bertindak menghantar Aiman ke tuisyen selama sebulan sebelum sesi persekolahan bermula.

“Saya dapat melihat perkembangannya, walaupun pernah menghantar ke tadika, saya memilih untuk hantar tuisyen untuk memastikan Aiman tidak akan ketinggalan di sekolah kelak. Nampaknya dia mampu mengikuti silibus baru,” akuinya.

Menurut seorang guru yang mengajar kanak-kanak kanak-kanak Tahun Satu di sebuah sekolah di Lembah Kelang, masalah yang dihadapi bukan sebenarnya daripada kanak-kanak itu.

“Kami boleh mengawal kanak-kanak dan memperkenalkan satu persekitaran yang mesra. Tetapi sukar untuk ibu bapa mempercayai kami dan meninggalkan anak mereka,” katanya yang enggan dikenali.

Dengan pengalaman hampir lima tahun, guru itu memberitahu, pada minggu pertama kanak-kanak hanya didedah dengan program orientasi dan suai kenal. Tetapi apabila ibu bapa bertindak berada di luar kelas dan terlalu memantau anak mereka, kanak-kanak ini seolah-olah terikat.

“Mereka (kanak-kanak) akan hanya memberi perhatian kepada ibu bapa yang sedang menunggu di luar dan bukan perjalanan dalam kelas,” katanya kesal.

Bencana air pasang besar

Oleh MUSTAPA LAKAWA dan TOREK SULONG
berita@kosmo.com.my

ORANG ramai melihat sebahagian daripada Jalan Teluk Lipat, Dungun yang terpaksa ditutup selepas runtuh dilanda air pasang besar semalam.

 

DUNGUN – Ribuan penduduk pesisir pantai di daerah ini serta sepanjang pantai Bachok, Kelantan panik apabila kawasan tempat tinggal mereka dipukul ombak akibat fenomena air pasang besar sejak seminggu lalu.

Kesan daripada kejadian itu mengakibatkan jalan raya yang menghubungkan Pantai Teluk Lipat ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun runtuh selepas dipukul ombak besar.

Fenomena luar biasa itu yang turut diibarat sebagai ‘tsunami kecil’ oleh penduduk tempatan dianggap sebagai kejadian paling buruk yang pernah berlaku di daerah tersebut.

Selain runtuhan jalan raya, puluhan pokok ru di sepanjang pesisir pantai berkenaan turut menyembah bumi sehingga mengancam keselamatan penduduk setempat.

Tinjauan Kosmo! di kawasan kejadian semalam mendapati masih ramai pengguna jalan raya melalui kawasan runtuhan sepanjang dua kilometer itu walaupun pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda amaran.

Seorang peniaga kedai makan, Ahmad Fauzi Ismail, 50, mendakwa kejadian air pasang besar di pantai itu mula dikesan sejak minggu lalu sebelum bertukar menjadi lebih buruk kelmarin.

Katanya, situasi di kawasan itu juga dilihat tidak selamat apabila ramai menjangkakan ribut dan angin kencang serta air pasang akan berlaku dalam beberapa hari lagi.

“Selama saya tinggal di sini, inilah bencana paling buruk pernah berlaku sampaikan hampir keseluruhan jalan pesisir pantai runtuh.

“Saya nampak sendiri batu-batu besar dihanyutkan ombak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Misteri bola metalik jatuh dari langit

SEBIJI bola gergasi metalik yang jatuh dari langit di wilayah Omusati, utara Namibia pada bulan lalu.

 

WINDHOEK, Namibia – Sebiji bola metalik gergasi yang berdiameter 1.1 meter dan berat enam kilogram jatuh dari langit di sebuah kampung di utara Namibia, 750 kilometer dari sini pada November lalu.

Pihak berkuasa Namibia kini menghubungi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan dan Agensi Angkasa Eropah bagi mendapatkan maklumat mengenai bola tersebut.

Institut Sains Forensik Kebangsaan Namibia bingung tentang bola tersebut dan tidak mengetahui dari mana asalnya.

Bola metalik itu ditemui oleh seorang petani di wilayah Omusati.

Menurut beberapa saksi, bunyi kuat kedengaran sebelum ia ditemui seorang petani yang kemudian menberitahu polis.

Bola itu kini dalam simpanan pihak polis. – Agensi

Makin hebat

PRESTASI cemerlang skuad bola sepak negara di pentas antarabangsa menyaksikan ranking mereka terus menikmati peningkatan.

 

SKUAD bola sepak negara terus menikmati peningkatan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ia seolah-olah membuktikan betapa seriusnya Malaysia untuk berada dalam kalangan 70 pasukan terbaik dunia.

Jika momentum cemerlang berterusan, tidak mustahil impian tersebut boleh dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Jika berjaya berada dalam kelompok 70 terbaik, masa depan pemain Malaysia untuk bergelar pemain profesional di bumi Eropah sangat cerah.

Malaysia perlu berada dalam kumpulan 70 pasukan terbaik memandangkan peraturan liga Eropah khususnya Liga Perdana England hanya akan membenarkan pemain daripada kalangan negara yang berada dalam kelompok tersebut beraksi dalam liga mereka.

Ia tidak mustahil dicapai jika kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA terus berubah.

Dalam senarai terbaharu, skuad bola sepak negara mengakhiri musim 2011 di kedudukan ke-148, naik tujuh anak tangga berbanding bulan lepas.

Peningkatan ranking pasukan negara itu adalah hasil daripada beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepanjang tahun ini.

Peningkatan itu turut dibantu dengan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November lalu selain pencapaian cemerlang pada aksi kelayakan Olimpik 2012.

Berdasarkan ranking terbaharu FIFA yang dikeluarkan semalam, Malaysia memungut tambahan tujuh mata selepas mencatat beberapa kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang mereka harungi sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, kedudukan terbaik skuad negara tahun ini adalah pada bulan Mac lepas iaitu di tangga ke-138, yang pada hakikatnya masih jauh berbanding kedudukan terbaik Malaysia di tangga ke-75 pada 1993.

Menerusi kedudukan terbaharu itu, pasukan negara kini setanding dengan negara-negara lain seperti Singapura (145), Turkmenistan (146), Lesotho (147), Samoa (149) dan Equatorial Guinea (150).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tempat kelima di belakang Vietnam (99), Thailand (122), Indonesia (142) dan Singapura (145).

Pada peringkat Asia, kedudukan Malaysia turut naik tiga anak tangga ke kedudukan ke-24 daripada 46 negara, berbanding tempat ke-27 bulan lepas.

Sementara itu, kedudukan teratas ranking dunia masih dipegang juara Piala Dunia 2010, Sepanyol, diikuti Belanda dan Jerman daripada keseluruhan 203 buah negara.

Betis bengkok bak akar kayu

Oleh MANIRAH OTHMAN dan NURUL IZZA ROSLY


 

BAGAIKAN masih di dalam rahim ibu, pasangan kembar Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq Hashim masing-masing 15 tahun seolah-olah tidak dapat dipisahkan.

Keakraban kedua-dua beradik ini mungkin terbawa-bawa kerana mereka pernah berkongsi rahim yang sama 15 tahun lalu.

Benarlah kata pepatah, pasangan kembar mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain. Namun, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq bukan sekadar berkongsi naluri yang sama seperti pasangan kembar lain, sebaliknya mereka berkongsi ‘derita’ yang sama.

Kedua-duanya menghidap penyakit tulang rapuh (soft bone) yang dikesan ketika masih bayi iaitu sekitar 18 bulan dan baru belajar bertatih.

Akibat penyakit tersebut, bahagian betis mereka tidak sempurna sifatnya kerana ia membengkok seakan-akan akar pokok kerana terlalu kerap patah.

Kesannya, tumbesaran remaja tersebut terjejas. Pada masa yang sama mereka tidak dapat bergerak aktif kerana khuatir tulang mereka patah jika terlanggar tunggul kayu ataupun anak tangga.

HASHIM (kanan) menganggap penyakit yang dihidapinya dan tiga anaknya adalah ujian daripada Allah.

 

Setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya. Lebih perit, kecederaan tersebut mengambil masa yang lama untuk pulih iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Bukti episod kesakitan anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik itu dapat dilihat melalui kesan patah kerana struktur kaki mereka menjadi pipih persis akar kayu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah yang paling tepat menggambarkan keadaan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Serating, Merchang, Marang, Terengganu itu kerana penyakit mereka belum ada penawarnya.

“Setiap kali ingin berjalan, saya perlu berhati-hati bagi mengelakkan daripada tulang saya patah akibat terlanggar sebarang objek,” kata Mohd. Syafiq ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bagi Fatihah pula, sebiji bantal terpaksa digunakan bagi memudahkannya mengesot untuk bergerak memandangkan kakinya sudah patah lebih 20 kali sekali gus menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Sungguhpun begitu, dalam keadaan fizikal yang membataskan mobiliti, kedua-dua beradik ini menjadikan kerusi roda sebagai peneman setia ketika berada di luar rumah untuk ke sekolah bagi meneruskan rutin harian mereka.

NURUL FATIHAH terpaksa mengesot bagi membolehkannya bergerak.

 

Tidak seperti rakan-rakan lain yang gemar bergaul sesama rakan sebaya lain, sebaliknya berlaku kepada Fatihah mungkin kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

Patah kaki

Situasi yang berbeza dapat dilihat pada Mohd. Syafiq yang mengalami patah kaki kanan kerana dia agak aktif walaupun dengan pergerakan yang terbatas.

“Kali terakhir kaki saya patah ialah pada pertengahan tahun 2009 ketika bermain.

“Saya kemudiannya dirawat selama seminggu di hospital dan tidak ke sekolah selama dua bulan,” ujarnya.

Fatihah yang kini terpaksa bergantung dengan kerusi roda kali terakhir mengalami nasib yang sama kira-kira empat tahun lalu. Namun nasibnya tidak sebaik Mohd. Syafiq kerana kedua-dua kaki Fatihah patah menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Penyakit yang diwarisi daripada bapa mereka, Hashim Omar, 54 turut dialami oleh salah seorang abang mereka, Asrul, 22. Namun, lima lagi adik-beradik yang lain bernasib baik kerana mereka bebas daripada penyakit tersebut.

“Kini, Asrul sedang mengikuti kursus jahitan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tabah dengan dugaan ini, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq saling menjaga satu sama lain apabila seringkali dilihat bersama di sekitar rumah mereka di Perkampungan Orang Kelainan Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang.

“Sudah banyak ikhtiar dilakukan untuk mengubati penyakit anak-anak saya, namun doktor memberitahu penyakit mereka tidak boleh diubati.

MOHD. SYAFIQ (kiri) dan Nurul Fatihah merenung masa depan mereka yang penuh dengan ketidaktentuan.

 

“Saya juga hairan kenapa saya dan anak-anak terkena penyakit ini sedangkan ahli keluarga saya termasuk datuk dan saudara-mara lain tidak mengalaminya,” kata Hashim.

Sungguhpun begitu, Hashim menerima keadaan tersebut sebagai ujian daripada Allah. Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dikesali mereka walaupun tidak sempurna.

“Saya bersyukur dengan keadaan ini kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya juga bernasib baik kerana isteri, Nurzaimah Husin, 47, tetap setia bersama-sama menghadapi dugaan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Syafiq sangat positif meskipun sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya.

“Saya ada ramai kawan dan mereka sudi bermain dan bantu saya,” katanya.

Tahniah semuanya…teruskan kecemerlangan anda.

34,271 pelajar dapat semua A PMR

SEBAHAGIAN daripada 128 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V bersorak gembira selepas berjaya memperoleh keputusan 8A PMR di Seremban semalam.

 

PUTRAJAYA – Seramai 34,271 pelajar daripada 441,137 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 30,863 pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian pada tahun ini meningkat sebanyak 0.75 peratus berbanding tahun lalu.

“Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2011 di sini semalam.

Beliau berkata, kementerian itu berterima kasih kepada guru dan pelajar serta semua pihak yang berkenaan atas usaha mereka membantu meningkatkan GPN tahun ini.

Abd. Ghafar berkata, bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini.

Menurut beliau, suatu yang membanggakan adalah pencapai- an calon berkeperluan khas yang menunjukkan peningkatan dengan 12 daripada 1,370 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding lima orang pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai prestasi mata pelajaran, beliau memberitahu, calon yang mendapat gred A dalam Matematik meningkat kepada 30.2 peratus berbanding 28.9 peratus pada 2010, manakala Sains mencatatkan peningkatan empat peratus.

Sumber:Kosmo

Mutiara kata

If the writing is honest it cannot be separated from the man who wrote it.

– Tennessee Williams-

Refleksi kuliah GGGE6543

Refleksi minggu 14 ( 22/12/2011)

Hari ni merupakan hari kuliah terakhir sebelum pelaksanaan bengkel aplikasi web 2.0.

Kami telah berbincang dengan semua rakan bagi melancarkan program yang dirangka. Simulasi bengkel dilaksanakan untuk mengetahui jangka masa perjalanan bengkel. Kemudian Dr Rosseni masuk ke kelas dan memaklumkan perubahan tarikh pelaksanaan bengkel ke tarikh baru iaitu 30 hb Dis 2011 @ Jumaat atas sebab2 yg tidak dapat dielakkan. Kami selaku pelaksana bengkel menerima perubahan tarikh dengan ‘tambah & tolak’.

Harapan saya semoga bengkel yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Insya Allah.

Hari ini juga kami diberikan ‘rubrik’ penilaian wordpress. Macam banyak yg kena top up ni.huhuhuhuhu

Sehingga ke waktu ini saya masih menggodek wordpress. Ya Allah, xlarat dh, sakit belakang…smbg esk lah….

Yes….ke-40

I loved words. I love to sing them and speak them and even now, I must admit, I have fallen into the joy of writing them. — Anne Rice